Tampin: Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun di rumah kosong
di Gemas, di sini, 6 Ogos lalu.
Perbuatan lelaki terbabit yang ditahan polis kelmarin, terbongkar selepas mangsa mengadu sakit, selain pendarahan pada kemaluannya ketika membuang air kecil.
Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 6 petang apabila suspek membawa mangsa bersiar-siar selepas mendapat kebenaran ibu kanak-kanak itu.
“Sebaik tiba di rumah kosong terbabit, suspek merogol kanak-kanak itu sebelum menghantarnya pulang jam 7.30 malam. Tiba di rumah, mangsa memberitahu ibunya apa yang dilakukan suspek terhadapnya.
“Kanak-kanak itu turut menceritakan pada bapanya suspek membuka pakaiannya. Keesokan harinya, mangsa memberitahu ibunya yang berusia 26 tahun bahawa perutnya sakit dan pedih pada kemaluan ketika membuang air kecil,” katanya.
Menurut sumber, wanita terbabit membawa anaknya ke klinik berhampiran dan terkejut mendapati terdapat kesan kemerahan pada kemaluan kanak-kanak itu.
“Apabila ditanya, mangsa memaklumkan apa yang dilakukan suspek terhadapnya sebelum ibunya melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, kelmarin,” katanya.
Sumber berkata, siasatan menemui kesan air mani pada cadar di dalam bilik di rumah kosong itu.
Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan menerima laporan kejadian.
Anggota polis menjalankan siasatan di rumah suspek, semalam.