Padah keluar asrama,pelajar perempuan dirogol dan dikurung seminggu..
Ampang- Tindakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun keluar dari asrama sekolah untuk ke rumah teman lelakinya membawa padah apabila dia diperkosa lelaki itu.
Difahamkan, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Selayang, di sini, ‘dikurung’ dalam rumah keluarga kekasihnya di Lembah Jaya, di sini, selama seminggu sebelum meminta bantuan rakannya untuk melarikan diri.
Menurut sumber, mangsa dijemput teman lelakinya berusia 19 tahun di sekolahnya kira-kira jam 2 petang 9 April lalu. “Mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah lelaki itu dan bermalam di situ. Namun, selepas tiga hari berada di rumah kekasihnya itu, lelaki terbabit dikatakan bertindak masuk ke bilik mangsa dan mengajak melakukan hubungan seks.
“Mangsa bagaimanapun menolak ajakan teman lelakinya itu namun diugut akan memutuskan hubungan cinta mereka sekiranya mangsa enggan sebelum bertindak memperkosanya,” katanya.
Beliau berkata, keesokannya mangsa menceritakan kepada keluarga lelaki terbabit apa yang berlaku sebelum keluarga lelaki terbabit membawa mangsa ke klinik untuk pemeriksaan. Nasib malang gadis terbabit bagaimanapun belum berakhir apabila lelaki itu sekali lagi memperkosanya, malah tidak membenarkan dia pulang ke rumahnya.
“Mangsa yang takut kejadian sama berulang akhirnya menghubungi salah seorang rakan meminta bantuan. Mangsa bertindak keluar rumah namun tindakannya disedari lelaki itu yang menghalangnya berbuat demikian.
“Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa berjaya melepaskan diri. Mangsa kemudian menetap sementara di rumah rakannya itu,” katanya.
Sumber itu berkata, teman lelaki mangsa yang bimbang perbuatan kejinya itu terbongkar bertindak ke rumah rakan mangsa dan mengugut supaya tidak membongkarkan kejadian itu dan tidak mahu bertanggungjawab sekiranya mangsa mengandung.
Katanya lagi, mangsa yang pulang ke rumahnya kelmarin akhirnya nekad menceritakan kejadian yang berlaku kepada ibu bapanya sebelum dia dibawa membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 kerana merogol.