AYDA JEBAT TERASA AGAK TERBATAS ADEGAN BERPELUKAN ATAS KATIL DAN ROMANTIS DITOLAK?







Pelakon baru yang semakin meningkat populariti, Ayda Jebat menghormati permintaan Izzue Islam meletakkan syarat tidak mahu berpeluk untuk beberapa babak romantik mereka sebagai suami isteri menerusi drama bersiri terbaru, Suami Sebelah Rumah.

Bercerita lanjut penggambarannya yang selesai pada minggu lalu, Ayda memberitahu pada mulanya dia berasa terbatas untuk menjiwai wataknya apabila Izzue menolak melakukan aksi romantik seperti diatas katil dan berpelukan seperti mana dikehendaki dalam skrip berkenaan yang diadaptasi daripada novel. Bagaimanapun, selepas mereka berbincang dengan pengarah, dia menghormati permintaan aktor itu.

Katanya, dia menganggap ia sebagai satu cabaran dalam lakonannya kali ini menunjukkan keintiman tanpa bersentuhan.

"Awalnya saya rasa terbatas apabila Izzue beritahu babak romantik yang dia tidak boleh lakukan misalnya di atas katil.

"Namun, apabila saya fikirkan semula, jika dia tidak sanggup, saya pun tidak sanggup. Lagipun ada baiknya sebab dia sudah berkahwin dan saya menghormati permintaan dia.

"Saya juga terfikir apabila nanti saya sudah kahwin dan masih berlakon, kalau ada perkara yang saya tidak boleh buat, saya harap orang lain juga akan menghormatinya.

"Walaupun kami tidak boleh tunjukkan romantik dengan cara bersentuhan atau berpeluk tetapi Izzue ada juga memberi cadangan untuk aksi romantik dan intim itu divisualkan dengan cara lain dan kami juga berbincang dengan pengarah," katanya.

Katanya, babak malam pertama di atas katil dilakonkan dengan cara tutup lampu dan hanya melafaz dialog.

"Selain itu, cara percakapan dan pandangan mata sudah boleh menggambarkan hubungan romantik tanpa kami perlu berpegangan tangan," jelasnya ketika ditemui pada sidang media Siri Realiti Web Pencarian Wajah Aurawhite di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

Pelakon yang mula popular menerusi drama bersiri, Rindu Awak 200% adalah duta produk kecantikan dan kesihatan berkenaan bersama Natasha Hudson, Amyra Rosli dan Izzue sebagai duta AuraMen. Mereka terbabit sebagai juri dalam sesi ujibakat program realiti tersebut yang akan disiarkan pada Mac tahun depan.

Mengulas lanjut gandingan mereka memandangkan pernah tercetus isu isteri Izzue dikatakan cemburu terhadap lakonan dengan pelakon wanita lain, Ayda menyatakan isu itu tidak menghalang dia dan Izzue mewujudkan keserasian.

"Izzue seorang pelakon yang bagus dan dia sangat menjiwai wataknya. Kami tiada masalah dari segi mendapat keserasian dan saya seronok dapat berlakon dengannya selain banyak perkara baru yang saya dapat belajar.

"Lebih menarik, drama kali ni bukanlah drama romantik sangat tetapi menyelitkan elemen komedi", katanya tentang drama terbitan JS Pictures yang akan ditayangkan di TV3 itu nanti.

Dalam pada itu, gadis berusia 21 tahun ini meluahkan rasa syukur dan gembira kerana lakonannya dalam dramanya Rindu Awak 200% sebelum ini telah melonjakkan namanya sekaligus menjadi kesayangan ramai peminat drama tempatan.

Katanya, seperkara yang lebih membuatkan dia terharu adalah apabila ada peminatnya sanggup datang dari jauh semata-mata mahu memberikan sokongan padanya jika dia hadir dalam satu acara atau majlis di mana saja.

"Mereka sangat sayang saya dan saya pun sangat menghargai mereka. Ada yang sanggup mengikut saya ke mana saya pergi sebagai menunjukkan tanda sokongan mereka.

"Contohnya, baru-baru ini saya hadir pada acara di Kelantan dan Terengganu, peminat saya dari Kuala Lumpur sanggup datang ke acara tersebut. Sokongan mereka membuatkan saya terharu.

"Saya sangat hargai apa yang mereka buat untuk saya. Sebagai balasan, saya juga beritahu kehadiran saya pada sesuatu acara menerusi Instagram.

"Mereka sangat teruja apabila saya tegur mereka dan saya pun seronok apabila mereka gembira," katanya.

Mengenai perancangan kerjaya, Ayda memberitahu dia bersikap memilih dalam beberapa perkara sebelum menerima sesuatu tawaran.

"Saya agak memilih mengenai pengarah dan jalan cerita sebuah drama atau filem. Jika projek itu bagus, baru saya akan terima.

"Bukan mahu 'demand' tetapi saya buat semua ini demi peminat dan kerjaya saya. Untuk terus kekal dalam industri bukan senang, jadi saya harus betul-betul tahu apa yang terbaik untuk diri saya," ujarnya.

Perkembangan lain, Ayda sibuk menjalani penggambaran iklan produk makanan kucing sebanyak 29 episod untuk siaran Youtube berjudul Oscar I Miss You.

Selain itu, dia juga akan membintangi dua filem baru iaitu sebuah filem genre seram arahan Ahmad Idham manakala satu lagi filem komedi romantik arahan Aidil Fitri Mohd Yunos. Bagaimanapun, Ayda merahsiakan judul kedua filem tersebut buat masa ini.

Contact Form

Name

Email *

Message *