Apakah Yang Buat Dato` Siti Nurhaliza Terkejut Dengan Dirinya?



Penyanyi tersohor negara, Dato` Siti Nurhaliza Tarudin dilaporkan terkejut apabila mendapat tahu namanya disenaraikan sebuah portal berita baru-baru ini sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia.

Menerusi laporan akhbar Utusan Malaysia semalam, penilaian jumlah kekayaannya sebanyak RM50 juta seperti yang dilaporkan portal itu tidak begitu tepat dan dia secara peribadi, kurang senang dengan berita yang sudah menjadi viral di laman sosial itu.

Menurut Siti, dia ada membaca berita tersebut dan agak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan. Namun isteri kepada usahawan Datuk K ini bersyukur dengan rezeki yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya selama ini.


Portal savemoney.my dalam laporannya mengenai lima wanita terkaya di Malaysia dilaporkan menyenaraikan nama Siti Nurhaliza, 35, di kedudukan ketiga dengan anggaran aset kekayaan mencecah RM50 juta pada 2013.

Kedudukan pertama dalam senarai portal itu ialah pewaris pengasas Genting Highlands, Puan Sri Lee Kim Hua dengan aset berjumlah RM21.32 bilion, disusuli pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh (RM875) juta.

Dua lagi personaliti wanita Malaysia yang turut disenaraikan ialah bekas Ratu Cantik Malaysia 1969, Pauline Chai dan juara skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Dato` Siti Nurhaliza, yang juga pengasas produk kecantikan jenama SimplySiti, menegaskan kepada akhbar Utusan Malaysia, dia masih lagi bekerja keras dalam bidang seni selain memberi tumpuan serius terhadap cabang perniagaan lain.

“Saya tidak begitu senang dengan jumlah yang dinyatakan, kerana saya masih bekerja keras dalam bidang seni dan perniagaan dan tidak begitu tepat untuk membuat penilaian berdasarkan jumlah yang dinyatakan,” katanya.

Menurut akhbar itu, dengan lebih 200 anugerah dalam tangannya, Siti Nurhaliza antara penyanyi Melayu yang mencapai rekod cemerlang dalam industri hiburan sepanjang 20 tahun menceburi bidang seni itu.

Contact Form

Name

Email *

Message *