Amy Search Bagaikan Lipas Kudung Bila Paladin Semakin Brutal!







Tak perlu bergabung dengan ensemble muzik yang penuh untuk mencetuskan sebuah konsert yang sehebat Metallica. Sebaliknya dengan hanya menampilkan 5 pemain cello yang membentuk sebuah kumpulan bernama Paladin, ia sudah cukup mampu untuk memberikan impak hebat buat Search yang julung kali pertama berpeluang beraksi di Istana Budaya.

Dengan sentuhan dan iringan Paladin juga, Search telah berjaya mengangkat muzik dan lagu mereka di dalam Konsert Search : Live In Istana Budaya 2014 itu ke satu tahap yang lebih tinggi lagi yang mampu mencerminkan status mereka sebagai sebuah band muzik rock n roll gergasi bertaraf legend setelah memulakan perjalanan seni mereka yang panjang sejak dari era Glam Rock lagi.

Sekaligus ia mengetepikan pandangan atau persepsi skeptikal bahawa kolaborasi mereka bersama Paladin yang sebelum ini dianggap penuh berisiko besar bukan semata-mata 'menjadi' tetapi telah mencetuskan satu fenomena serta pembaharuan cukup besar dan luar biasa dalam lipatan sejarah industri muzik tanah air kita.

Respect yang tidak terhingga buat Search!

Kesungguhan mereka untuk menampilkan sebuah konsert yang hebat dan berkualiti dan pada waktu yang sama mampu memberikan kepuasan kepada peminat serta pengikut tegar mereka telah direalisasikan dengan cukup sempurna di atas pentas Panggung Sari yang masih tidak hilang prestijnya itu.

Penggunaan sistem tata cahaya yang bertaraf antarabangsa serta sistem bunyi yang hebat menjadikan muzik Search bersama iringan Paladin itu kedengaran cukup besar, solid, padu dan penuh apabila persembahan mereka bermula.

Sayangnya, ada di antara momen-momen di mana vokal Amy agak sedikit tenggelam dalam kebingitan muzik mereka dan barangkali itu juga yang menjadi punca utama mengapa vokalis Search ini ada kalanya tidak mampu mencecah beberapa notasi lagu dalam lagu-lagu Search yang tertentu.

Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku pada Amy. Namun, beberapa kegagalan yang tidak begitu ketara itu tidak langsung 'memotong' mood audiens untuk terus memakukan diri mereka menyaksikan konsert tersebut.

Apa yang nyata beberapa kegagalan itu telah berjaya disembunyikan secara baik, subtle serta bijak oleh Search dengan mencetuskan momen-momen hebat lain di dalam persembahan mereka yang akan diingati sampai bila-bila pun oleh peminat serta pengikut tegar mereka.

Dan sebagai seorang ikonik rock legend yang cukup disegani di tanah air, Amy telah memainkan peranannya sendiri untuk memastikan audiens mencapai kepuasan yang total ketika anggota Search lain bertungkus-lumus memainkan 22 buah karya lagu mereka bersama Paladin.

Dengan aura serta pesona bintang yang penuh impak serta cukup besar dirasai, Amy melantunkan vokalnya dengan aksi-aksi yang penuh karismatik serra dan penuh energetik. Ada ketikanya dia hanya berdiri biasa, ada ketikanya dia duduk, ada ketikanya dia melompat dan ada ketikanya dia ligat berpusing bagaikan lipas kudung.

Kesemua aksi-aksi tersebut dilakukan dengan penuh gaya dan gayanya memang gaya seorang superstar rock sepertimana yang sering ditonjolkan rocker-rocker legend dari luar negara iaitu Mick Jagger, AXL Rose dan Bon Jovi.

Apapun dalam set pertama ketika Pae memikul tugas sebagai pemain dram, penyatuan Search dan Paladin sangat dirasai menerusi lagu Menuju Puncak dan Pelesit Kota. Search bermain pada posisi dan level cukup terbaik menerusi kedua-dua lagu rock yang fast agresif itu.

Hentakan, stroke dan pukulan dram Pae berpadu dengan cukup rangup bersama distortion Kid atau Hamzah Mohd Taib (gitar utama) serta Kid aka Noordin Taib (gitar) ketika mereka sibuk menghasilkan plucking-plucking cukup mengagumkan bersama sound bass Nasir Daud yang tidak menghampakan.

Namun, alunan dan bunyian cello Paladin telah berjaya menaiktaraf (enhanced) kedua-dua lagu itu kepada satu level yang lain yang cukup luar biasa dan Paladin bermain seagresif Search dan ia memberikan ruang kepada Amy mencetuskan gerakan ala Mick Jagger yang ada kalanya seperti lipas kudung bersama ekpresi wajah yang cukup synchronize dengan muzik dan lagu yang dipersembahkan.

Lagu lain yang turut mereka persembahkan di dalam sesi pertama ini adalah Panggung Khayalan, Kau Pergi, Hongky Tong Kosong serta Balada Pemuzik Jalanan serta beberapa lagu yang cukup signifikan di kalangan fans mereka iaitu Kejoraku Bersatu, Gelora Cintaku, Langit dan Bumi serta Laila Namamu Teratas.

Sebaik saja Laila Nama Teratas berakhir, Search memberi kejutan lain pula menerusi kemunculan pemain dram asal mereka, Yazid Ahmad yang terpaksa dipapah masuk kerana menhidapi penyakit buah pinggan yang gagal berfungsi.

Demi Search, Yazid Search sanggup keluar dari hospital sehari sebelumnya untuk beraksi bersama Search dan pukulan-pukulan dram yang menjadi trademarknya telah disumbangkan dalam lagu-lagu hits Search yang lain seperti Kejora, Rozana, Fantasia Bulan Madu, Isi Atau Kulit, Isabella dan Gadis Misteri.

Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan itu, Yazid Search masih berupaya menghasilkan hentakan dan pukulan yang padu dan kencang walaupun tidak seagresif dahulu. Semangat juang Yazid memang sangat luar biasa dan beliau beraksi sempurna tanpa apa-apa masalah.

Kesempurnaan Yazid bermain adakalanya membuatkan kita semua terlupa bahawa dia sedang sakit dan momen-momen yang menarik sempat dicetuskan menerusi lagu Fantasia Bulan Madu, Isi Atau Kulit, Isabella serta Gadisku.

Oleh kerana kebanyakan lagu-lagu yang dipersembahkan ini adalah lagu yang bersifat ballad, maka alunan bunyian Cello Paladin menjadikan kesemua lagu ini lebih lengkap arrangementnya serta cukup sedap didengar serta membuai perasaan apabila elemen klasikal disatukan dalam muzik rock.

Search kemudian merehatkan Yazid serta membawa masuk semula Pae untuk meneruskan sesi lagu-lagu mereka yang lebih agresif seperti Diari Habil & Qabil, Gothic Malam Edan dan No Way. Sesi ini adalah antara sesi yang wajar diberikan perhatian kerana Paladin tiba-tiba bangkit dari alunan mood yang lembut untuk mengikuti pergerakan muzik Search yang semakin laju dan semakin agresif.

Namun, persembahan mereka menerusi lagu Gothic Malam Edan cukup luar biasa. Ibarat sebuah jamming yang tidak dirancang, mereka bergabung dengan energi yang paling maksimum dan saling berbalas dalam aliran muzik yang berbeza tetapi tetap menggunakan paksi genre muzik yang satu iaitu rock!

Malam semakin panas dan hangat! Search serta Paladin semakin 'menggila' terus melakukan jamming yang hebat dan tidak membara menerusi lagu Fenomena sebelum menyusul dengan Kereta Merah.

Dan seperti yang diduga oleh sesiapa pun yang menjadi fans tegar dan sejati mereka, Pawana dipersembahkan sebagai lagu encore terakhir dan momen yang cukup menarik apabila menyaksikan Paladin turun dari pentas atas untuk beraksi bersama Search di pentas utama sebelum meraih standing ovation daripada semua penonton pada malam itu.

Contact Form

Name

Email *

Message *