Dianggarkan 5,000 hingga 7,000 wanita ditahan di pusat-pusat tahanan
sementara ISIS, di mana mereka diambil dan dijual sebagai hamba atau
diserahkan kepada pemimpin dan anggota kumpulan jihad sebagai gundik. –
Foto AP
Seorang gadis yang dipaksa menjadi hamba seks oleh anggota kumpulan
militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), merayu rumah pelacuran
tempat dia ditahan dibom, setelah mendakwa dirogol 30 kali oleh beberapa
anggota militan.
Selain diperkosa, dia juga mendakwa didera, termasuk tidak dibenarkan menggunakan tandas.
Menurutnya, pengalaman pahit itu begitu menakutkan sehingga dia merancang membunuh diri, walaupun setelah dibebaskan kelak.
Pengalaman perit mangsa itu didedahkan seorang aktivis Kurdistan, ketika
ditemu bual BBC di London.Aktivis dikenali sebagai Karam itu ditemui
ketika menyertai demonstrasi di United Kingdom, semalam, untuk
meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap nasib wanita di Timur
Tengah.
Karam mendakwa, panggilan telefon mangsa dijawab rakannya, seorang aktivis kumpulan ‘Peshmerga Kurdi’.
“Jika anda tahu di mana kami, sila bom kami. Tidak ada kehidupan selepas
ini. Saya akan membunuh diri, kerana ramai telah membunuh diri mereka,
pagi ini.
“Saya telah dirogol 30 kali dan tiada waktu rehat untuk makan tengah
hari. Saya tidak boleh pergi ke tandas. Sila bom kami,” cerita Karam
yang memetik keluhan mangsa yang tidak henti menangis dalam perbualan
telefon berkenaan.