MELAKA - Usianya baru mencecah 17 tahun dan berkenalan dengan ibu kepada rakan baiknya, tetapi lain pula jadinya apabila dia menjalinkan hubungan terlarang dengan wanita tersebut.
Hubungan terlarang remaja itu dengan wanita berusia 29 tahun berkenaan terbongkar apabila sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menahan pasangan terbabit kira-kira 11 pagi semalam di Pantai Crystal Bay, Alai, dekat sini, selepas mendapat aduan mereka melakukan adegan melampau dengan bercium dan berpelukan di kawasan terbuka.
Aksi sumbang itu dikatakan menimbulkan perasaan jijik orang ramai lalu bertindak menghubungi Jaim untuk tindakan lanjut.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agam Jaim Rahimin Bani berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi berkenaan selepas mendapat aduan mengenai kegiatan sumbang dilakukan pasangan terbabit.
Katanya, ketika tiba pasangan terbabit masih duduk dalam keadaan rapat dan apabila disoal mereka mengakui melakukan perkara tidak senonoh sebelum itu.
“Agak mengejutkan pemeriksaan pengenalan diri mendapati wanita tiga anak terbabit masih berstatus isteri orang, tetapi memberi alasan dalam proses penceraian.
“Lelaki terbabit itu juga berstatus remaja dan sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, namun sudah meninggalkan alam persekolahan lebih awal,” katanya di sini, semalam.
Rahimin berkata, siasatan lanjut juga mendapati remaja lelaki berkenaan mula mengenali wanita terbabit sejak beberapa bulan lalu hasil perkenalannya menerusi anak sulung lelaki wanita itu yang berusia 13 tahun.
Katanya, remaja lelaki terbabit terlebih dulu berkawan baik dengan anak kepada wanita berkenaan dan kebetulan terus menjalinkan hubungan dengan ibunya.
“Pasangan terbabit datang ke lokasi berkenaan dengan menaiki motosikal yang ditungganggi remaja terbabit sejak jam 9 pagi dan sejurus sampai mereka terus melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya.
Beliau berkata, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 71, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan perbuatan tidak sopan.
“Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.